Wednesday, March 4, 2009

Kampung Sungei Bedil Angus!

Saya baru menerima berita ini dari seorang rakan di UKM awal pagi tadi.Kejadian ini berlaku pada petang semalam di mana 15 buah rumah penduduk tempatan telah hangus dijilat api.

Moga Allah memberi kekuatan kepada para mangsa kebakaran.Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.(Alam Nashrah,5-6)

Berita mengenai kebakaran di Kampung Sungai Bedil.Klik di sini.

Saya lampirkan sekali berita mengenai kebakaaran ini yang saya peroleh dari laman sesawang The Borneo Post Online.

15 rumah di Kampung Sg Bedil ranap dalam kebakaran

KUCHING: Sebanyak 15 rumah di Kampung Sungai Bedil di sini ranap dalam kebakaran yang berlaku pada petang semalam.

Kejadian yang berlaku secara pantas itu telah mengakibatkan kira-kira 80 orang penduduk hilang tempat tinggal.

Tiupan angin kencang juga dipercayai menyebabkan api merebak dengan begitu cepat sehingga meranapkan rumah-rumah terbabit yang dibina berdekatan antara satu sama lain.

Melihat keadaan api yang semakin marak, penduduk kampung bertungkus-lumus membantu menyelamatkan harta benda mangsa.

Menurut Abdul Malik Temu,45, semasa kejadian itu berlaku, dia sedang berada di Satok atas urusan kerja.

“Saya hanya mengetahui mengenai berita sedih ini selepas dihubungi ahli keluarga kira-kira jam 6.00 petang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, penduduk kampung membeitahu kejadian itu dikatakan berpunca dari rumahnya.

“Nasib baik ahli keluarga saya tidak berada di rumah ketika itu,” katanya.

Bensi Siyet, 38, pula berkata dia mula menyedari kebaran itu berlaku kira-kira jam 6.00 petang.

“Semasa kejadian, saya bersama anak, anak saudara dan suami berada di dalam rumah,” katanya.

Dia berkata, semua barangan di dalam rumahnya gagal diselamatkan.

“Kami sekeluarga hanya mampu menyelamatkan diri sendiri sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Baharuddin Idris, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung kira-kira jam 5.55 petang dan tiba di tempat kejadian kira-kira jam 6.02 petang.

“Kami berjaya memadamkan api sepenuhnya kira-kira 45 minit. Operasi pemadaman agak sukar dijalankan kerana jentera kami sukar memasuki kawasan ini kerana jalannya terlalu sempit,” katanya lagi.

Beliau berkata, operasi pemadaman berkenaan melibatkan lima jentera bersama 47 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Batu Lintang, Padungan dan Tabuan Jaya.

Kesemua mangsa difahamkan ditempatkan di surau kampung berkenaan.

No comments: