Sunday, February 28, 2010

Meriah!

Alhamdulillah pada Jumaat lepas saya sempat menghadiri dua majlis maulid, paginya di Tanjung Tuang Samarahan dan malamnya di Amphitheater, Tebingan (Waterfront) Kuching.

Masjid Darul Ikhsan, Tanjung Tuang, Samarahan

Pada paginya majlis berlangsung di Masjid Darul Ikhsan, Tanjung Tuang.

Dari kiri Hb. Musthofa al-Haddad, Hb. Izzudin al-'Aydrus, Ust. Haji Adhlan

Majlis
diketuai oleh Ust. Haji Adhlan dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Hb. Musthofa al-Haddad dan juga Hb. Izzudin al-'Aydrus. Bacaan Maulid ad-Daiba'ie diselangselikan dengan bacaan Maulid Marhaban.


Maulid Marhaban mempunyai namanya yang tersendiri tetapi saya terlupa namanya. Terima kasih kepada Saudara Syeed Abd. Hamid kerana sudi menumpangkan saya untuk pergi bersama-sama ke majlis maulid berkenaan. Kemeriahan jelas terasa dengan bacaan maulid dan juga keramahan penduduk kampung Tanjung Tuang yang menyentuh perasaan saya. Amalan-amalan seperti ini semakin dilupakan dan semakin terhakis patut disuburkan dan dinaikkan semula. Saya tertarik dengan cadangan Ust. Haji Adhlan dimana beliau mencadangkan bacaan Maulid Marhaban dimodenkan selaras dengan kehendak remaja masa kini. Mungkin kerana bacaan Maulid Marhaban agak sukar diikuti menyebabkan golongan muda kurang berminat untuk mempelajarinya.

Setelah selesai bacaan maulid, para hadirin diberi jamuan ringan. Selepas itu tazkirah dari Hb. Musthofa juga Hb. Izzudin. Hb. Musthofa mengingatkan hadirin mengenai kepentingan majlis maulid yang tercatat di dalam kitab I'atutholibin Jilid 3.

Pada sebelah malamnya pula, sambutan maulidul rasul atau Malam Penghargaan Kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam diadakan ditempat yang agak asing bagi sesetangah orang iaitu di Tebingan Kuching.

Gelagat Muslimin PERKEPIS setelah selesai majlis

Majlis dimulakan dengan bacaan Marhadan dari adik-adik Semariang, nyanyian nasyid dari Taski ABIM, juga nyanyian lagu puisi. Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan Maulid Daiba'ie pimpinan Ust. Muhammed 'Afif bin Iskandar. Majlis dihadiri bukan sahaja penduduk setempat malah dihadiri oleh pelancong asing. Terdapat seorang pelancong asing yang menarik perhatian saya dimana beliau hadir pada sebelah petangnya untuk melihat kami membuat persiapan juga hadir pada sebelah malamnya.

Moga majlis sebegini terus subur di Bumi Kenyalang untuk terus menyuburkan rasa cinta dan rindu kita kepada Junjungan Besar Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam. Moga dengan cinta dan rindu kita kepada Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam ,semakin kuat pegangan dan kepercayaan kita untuk mengikuti segala tunjuk ajar serta sunnah Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam. Biarlah kita bermula dengan sunnah yang mudah dan ringkas, daripada kita meninggalkan terus mutiara-mutiara Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam. Marilah kita cuba berakhlak seperti akhlak Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam.

Allahumma sholli 'ala Sayyidina Muhammad!

Wednesday, February 24, 2010

Adab Majlis Maulid & Maulid Diba'ie


Peringatan - Adab Majlis Maulid

Saiyid 'Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil ibnu Yahya al-Batawi menyebut didalam kitabnya ad-Durr al-Basim fi Athwar Abi al-Qasim صلى الله عليه وسلم:

".... Faedah yang pertama wajib atas kita sekalian Islam mengetahui bahawasanya junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم hamba Allah yang amat mulia, lebih daripada sekalian makhluk. Lagi bahawa ia pesuruh Allah Taala pada sekalian manusia dan jin.

Maka wajiblah mengetahui akan hal ehwalnya yang disebut di dalam kitab ini, yang sesetengahnya itu wajib diketahuikannya, dan sesetengahnya itu sunat. Sebahagi[an] lagi wajib atas kita menghormatkan junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dengan sehabis-habis hormatnya..."

Katanya lagi:
"Dan lagi, tiada pantas [selayaknya] pula dibaca [bacaan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم] itu di atas meja kerusi, sebab itu bukannya asal aturan Islam. Dan janganlah ada di tempat membaca itu campuran lelaki sama perempuan. Sebab, itu pertegahan syarak. Melainkan ada dinding antara mereka itu dengan aman daripada fitnah."

Katanya lagi:
"Dan jangan sekali-kali ada di tempat membaca [maulid Nabi صلى الله عليه وسلم] itu suatu permainan haram. Sebab, itu derhaka besar, melanggar pertegahan Rasulullah صلى الله عليه وسلم di hadapan sebutan nama Allah dan nama rasul-Nya. Maka itu tiada patut sekali-kali di dalam aturan syarak, maka tiada yang membuat begitu rupa, melainkan jika ia jahil akan kadar Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Atau tiada mengindahkan kewajipan hormat padanya. Maka adalah itu dekat kepada kelakuan orang yang murtad ..."

Katanya lagi:
“…… maka dapatlah pahalanya, tiada kurang, insya-Allah asal betul saja segala aturannya [adabnya] ……”



Qadhi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Muar Johor di dalam kitabnya Mustika 'Ajaib Pada Menyatakan Hukum Dan Kelebihan Membaca Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم halaman 14 - 15:

Ingatan - Apabila dibacakan maulid an-Nabiy di dalam satu-satu majlis maka hendaklah orang-orang yang hadhir di dalam majlis itu duduk dengan adab, jangan mereka itu bercakap, berbual atau menghisap rokok atau curut di dalam majlis itu tetapi hendaklah mereka itu duduk dengan adab dan tawadhu'. Oleh sebab saya datang akan perkataan ini disini kerana saya telah berjumpa beberapa tempat-tempat kumpulan orang-orang kerana membaca maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, maka setengah mereka itu berbual-bual dan setengah mereka itu menghisap rokok .......
Maka sayogianya bagi orang yang menghadiri majlis maulidurasul, duduk di dalam keadaan yang tenang dan beradab kerana membesarkan serta memuliakan junjungan mulia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Duduklah seumpama duduk berada di dalam majlisnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. والله أعلم.

-rujukan dari blog al-Fanshuri. Sila klik di sini

Maulid Diba'ie

Karya mawlid yang masyhur dengan nama "Mawlid ad-Diba`ie" ini adalah antara karya mawlid yang tua, hampir mencapai usia 500 tahun. Sepanjang masa tersebut, ianya telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia Islam. Dibaca, dihayati, diwirid oleh jutaan umat, yang awam maupun yang khawas antara mereka. Mawlid ini adalah karya seorang ulama besar dan muhaddits yang sebenar, Imam Wajihuddin 'Abdur Rahman bin Muhammad bin 'Umar bin 'Ali bin Yusuf bin Ahmad bin 'Umar ad-Diba`ie asy-Syaibani al-Yamani az-Zabidi asy-Syafi`i rahimahumUllah. Imam ad-Diba`ie dilahirkan pada 4 haribulan Muharram tahun 866H dan wafat hari Jumaat 12 Rajab tahun 944H. Beliau adalah seorang ulama hadits yang terkenal dan tiada tolok bandingnya pada masa hayatnya. Beliau mengajar kitab "Shohih" Imam al-Bukhari lebih dari 100 kali khatam. Beliau mencapai darjat Hafiz dalam ilmu hadits iaitu seorang yang menghafal 100,000 hadits dengan sanadnya. Setiap hari beliau akan mengajar hadits dari masjid ke masjid. Di antara guru-gurunya ialah Imam al-Hafiz as-Sakhawi, Imam Ibnu Ziyad, Imam Jamaluddin Muhammad bin Ismail, mufti Zabid, Imam al-Hafiz Tahir bin Husain al-Ahdal dan ramai lagi. Selain daripada itu, beliau juga seorang muarrikh, yakni ahli sejarah, yang terbilang. Di antara kitab karangannya ialah:-
  • "Taisirul Wusul ila Jaami`il Usul min Haditsir Rasul" yang mengandungi himpunan hadits yang dinukil daripada kitab hadits yang 6.
  • "Tamyeezu at-Thoyyib min al-Khabith mimma yaduru 'ala alsinatin naasi minal hadits" sebuah kitab yang membezakan hadits sahih dari selainnya seperti dhaif dan maudhu.
  • "Qurratul 'Uyun fi akhbaril Yaman al-Maimun".
  • "Bughyatul Mustafid fi akhbar madinat Zabid".
  • "Fadhail Ahl al-Yaman".
-rujukan dari blog Bahrus Shofa. Sila klik di sini


Wednesday, February 3, 2010

Terima kasih warga Allamanda!

Alhamdulillah pada 29-31 Januari yang lepas JPK Kolej Allamanda dengan kerjasama PERKEPIS telah mengadakan Program Pembangunan Sahsiah yang diadakan di Kolej Allamanda UNIMAS. Dengan peserta seramai hampir 20 orang dan tenaga penggerak termasuk AJK serta fasilitator seramai hampir 10 orang telah menyempurkan dan memeriahkan program ini. Antara objektif program ini adalah untuk memupuk akhlak mulia seperti tolong-menolong serta bekerjasama di antara penghuni kolej; memberi kesedaran kepada para mahasiswa untuk menghormati antara satu dengan yang lain terutama yang berlainan kaum,bangsa dan agama; juga melahirkan rasa syukur dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak kolej.

Dari kiri YB Ong, YB Jay, YB Paul, YB Tiong, YB Jul


Antara pengisian-pengisian program ini adalah latihan dalam kumpulan(LDK), latihan luar kumpulan (LLK) dan juga ceramah dari Tuan Muhammad 'Afif Iskandar juga En. Syeed Abd. Hamid. Di antara aktiviti yang menarik adalah Jambatan Kehidupan dan juga Sidang Parlimen. Sidang Parlimen berlangsung hangat dengan telatah peserta dan juga "pihak pembangkang" dan juga "kerajaan" berbahas mempertahankan hujah masing-masing.

Di akhir program,ucapan penutupan yang amat menarik juga penuh makna dari Tuan Pengetua yang mana penulis kira sangat sarat dengan nasihat dan kata-kata semangat.


Pengetua Kolej Allamanda Dr. Noorzaid

Terima kasih diucapkan kepada pihak JPK Kolej Allamanda dengan ucapan penghargaan yang tidak terhingga,juga kepada Pengetua Kolej Allamanda Dr. Noorzaid, tidak dilupa kepada para peserta yang sememangnya "sporting" dengan izin. Ucapan terima kasih tidak terhingga kerana para peserta sanggup meluangkan masa untuk mengikuti program ini. Juga jutaan terima kasih kepada para fasilitator yang sanggup berkorban meluangkan masa dengan sahabat peserta di hujung minggu.

Barisan fasilitator dan penceramah-mintak maaf dak JPK,sik sempat ambik gambar takurang..hihi

Moga hubungan persahabatan diantara kita tidak terputus,dan moga berjumpa lagi di lain hari,InsyaAllah. Disini dilampirkan beberapa gambar untuk tatapan semua.

Sebelum

Selepas

Terimak kasih daun keladi,
iboh jerak nyeruk agik =)

Hadith hari ini

Dari. Saad r.a berkata Rasulullah S.A.W masuk ke tempat seorang wanita & dihadapannya ada biji-biji kurma & batu-batu kecil dimana dia bertasbih dengannya,lalu Baginda bertanya "Mahukah aku beritahu kepadamu sesuatu yang lebih mudah dan lebih afdhal daripada ini?" lalu Baginda bersabda :

سبحان الله عَدَدَ مَا خَلقَ فِى السَّماءِ.وسبحان الله عَدَدَ مَا خَلَقَ فِى الْاَرْضِى.وَسُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا بَيْنَ ذَلِكَ.وَسُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ مَا هُوَ خَالِق.وَاللهُ أكْبَرُ مِثْلَ ذَلِكَ,وَالْحَمْدُ للهِ مِثْلَ ذَلِكَ,وَلَا اِلَهَ اِلَّا اللهُ مِثْلَ ذَلِكَ,وَلَا حَولَ وَلاَ قُوَّةَ اِلَّا بِاللهِ مِثْلَ ذَلِكَ

Yang bermaksud "Maha Suci Allah sebanyak apa yang diciptakan di langit; Maha Suci Allah sebanyak apa yang diciptakan di bumi; Maha Suci Allah sebanyak kebesaranNya sebagai pencipta dan Allah Maha Besar, seperti itu; dan Segala Puji Bagi Allah, seperti itu; tiada Tuhan melainkan Allah, seperti itu; dan tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah, seperti itu

Hadith riwayat Tarmidzi,(hadith hasan)

Sumber dari Pembuka Jalan Mendekatkan Diri Kepada Allah, Ust. Syed Muhammad al-Attas