Thursday, March 3, 2011

Adakah Libya Domino Yang Seterusnya?

Adakah Libya akan mengikut jejak langkah Tunisia juga Mesir? Jika dilihat sekarang, berkemungkinan besar rakyat Libya akan mengambil masa yang lebih panjang dari Mesir untuk menggulingkan presiden mereka, Muammar Gaddafi.


Mengikut perkembangan semasa, rakyat Libya bersama-sama dengan barisan tentera yang berpaling tadah dengan presiden Gaddafi mengangkat senjata untuk berperang dengan tentera yang masih setia kepada presiden. Berdasarkan apa yang dilaporkan oleh agensi berita AlJazeera, tembak menembak berlaku di beberapa bandar termasuklah Benghazi, Brega, Ajdabiya.

Amerika sedang menggerakkan bala tenteranya melalui Terusan Suez, dalam keadaan bersedia untuk menyerang Libya atas tiket untuk menangkap presiden Muammar Gaddafi dan membebaskan rakyat Libya dari cengkaman diktator Libya tersebut. Seperti yang kita sedia maklum, Libya mempunyai simpanan minyak mentah yang besar di benua Afrika. Tiada lain niat untuk Amerika menyerang Libya melainkan minyak seperti yang mereka lakukan di Iraq.



Berdasarkan apa yang dilaporkan oleh CNN, Amerika sekarang mempunyai hutang tertunggak sebanyak $ 13 trillion, lebih dahsyat dari hutang semasa pentadbiran Presiden George W. Bush. Untuk maklumat bacaan lanjut, sila klik sini. Adakah Presiden Obama akan mengikut jejak langkah bekas presiden sebelum ini? Yakni untuk menyerang negara yang kaya dengan hasil minyak untuk melangsaikan hutang negaranya? Tidak mustahil untuk Amerika menyerang Libya seperti apa yang dilakukan oleh mereka di Iraq dan meninggalkan Iraq dalam keadaan kucar-kacir seperti yang kita lihat sekarang.

Jika benar Amerika akan menyerang Libya, pastinya mereka akan mencari boneka baru untuk mereka di Libya. Adakah berbaloi untuk mereka membiarkan orang luar mencampuri urusan negara mereka juga membiarkan orang luar mengaut hasil bumi rakyat Libya? Ya, mungkin kita tidak menyetujui apa yang dilakukan oleh Gaddafi tapi adakah kita belajar dari sejarah? Bagaimana keadaan Iraq selepas Saddam Hussein ditangkap,dipenjara dan dihukum bunuh? Revolusi memakan masa,wang dan nyawa juga ada akibat yang akan ditanggung selepas revolusi.

Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk rakyat Libya keseluruhannya. Moga apa yang mereka perjuangkan berbaloi untuk mereka juga untuk generasi Libya seterusnya.