Thursday, March 5, 2009

Lagi Berita Mengenai Kebakaran di Kpg. Sungai Bedil

Boleh rujuk di blog PERKEPIS

http://perkepis.blogspot.com/2009/03/assalamualaikum-w.html


Berita ini dipetik dari Utusan Malaysia Online

Mangsa kebakaran terima bantuan

KUCHING 5 Mac - Sebanyak 15 keluarga yang terlibat dengan kejadian kebakaran di Kampung Sungai Bedil Besar di sini semalam, menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM2,000 bagi setiap keluarga.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof ketika membuat lawatan ke kampung tersebut hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, bantuan itu merupakan sumbangan daripada Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya.

''Saya berharap mangsa dapat menggunakan wang sumbangan ini untuk membeli barangan keperluan asas seperti makanan dan pakaian seragam sekolah anak," katanya di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semariang, Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali.

Semalam, 15 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Bedil Besar yang menyebabkan 75 orang penduduk kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menumpang di rumah saudara mara serta surau kampung tersebut.

Fadillah berkata, beliau akan berbincang dengan pihak perumahan dan agensi-agensi kerajaan bagi mendapatkan penempatan sementara untuk mangsa kebakaran itu.

Buat masa ini ujarnya, kerajaan akan berusaha untuk menyewa asrama bagi keselesaan dan kemudahan mangsa sementara menunggu permohonan mendapatkan bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR).

''Saya akan usulkan permohonan kepada Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi mendapatkan bantuan PPRT dan RMR kepada mangsa terlibat," ujarnya.

Menurutnya, mangsa kebakaran yang mempunyai tanah di tempat lain juga boleh memohon untuk mendapatkan bantuan perumahan, namun permohonan haruslah mengikut syarat yang ditetapkan.

Katanya, PPRT hanya untuk keluarga yang mempunyai pendapatan RM720 ke bawah manakala RMR untuk isi rumah yang berpendapatan RM1,500 ke bawah.

Fadillah menambah, beliau juga akan membuat rayuan kepada pihak kerajaan untuk memberikan subsidi sebanyak 50 peratus kepada mangsa kebakaran itu memandangkan kini mereka tinggal sehelai sepinggang.

No comments: