Sunday, February 28, 2010

Meriah!

Alhamdulillah pada Jumaat lepas saya sempat menghadiri dua majlis maulid, paginya di Tanjung Tuang Samarahan dan malamnya di Amphitheater, Tebingan (Waterfront) Kuching.

Masjid Darul Ikhsan, Tanjung Tuang, Samarahan

Pada paginya majlis berlangsung di Masjid Darul Ikhsan, Tanjung Tuang.

Dari kiri Hb. Musthofa al-Haddad, Hb. Izzudin al-'Aydrus, Ust. Haji Adhlan

Majlis
diketuai oleh Ust. Haji Adhlan dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Hb. Musthofa al-Haddad dan juga Hb. Izzudin al-'Aydrus. Bacaan Maulid ad-Daiba'ie diselangselikan dengan bacaan Maulid Marhaban.


Maulid Marhaban mempunyai namanya yang tersendiri tetapi saya terlupa namanya. Terima kasih kepada Saudara Syeed Abd. Hamid kerana sudi menumpangkan saya untuk pergi bersama-sama ke majlis maulid berkenaan. Kemeriahan jelas terasa dengan bacaan maulid dan juga keramahan penduduk kampung Tanjung Tuang yang menyentuh perasaan saya. Amalan-amalan seperti ini semakin dilupakan dan semakin terhakis patut disuburkan dan dinaikkan semula. Saya tertarik dengan cadangan Ust. Haji Adhlan dimana beliau mencadangkan bacaan Maulid Marhaban dimodenkan selaras dengan kehendak remaja masa kini. Mungkin kerana bacaan Maulid Marhaban agak sukar diikuti menyebabkan golongan muda kurang berminat untuk mempelajarinya.

Setelah selesai bacaan maulid, para hadirin diberi jamuan ringan. Selepas itu tazkirah dari Hb. Musthofa juga Hb. Izzudin. Hb. Musthofa mengingatkan hadirin mengenai kepentingan majlis maulid yang tercatat di dalam kitab I'atutholibin Jilid 3.

Pada sebelah malamnya pula, sambutan maulidul rasul atau Malam Penghargaan Kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam diadakan ditempat yang agak asing bagi sesetangah orang iaitu di Tebingan Kuching.

Gelagat Muslimin PERKEPIS setelah selesai majlis

Majlis dimulakan dengan bacaan Marhadan dari adik-adik Semariang, nyanyian nasyid dari Taski ABIM, juga nyanyian lagu puisi. Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan Maulid Daiba'ie pimpinan Ust. Muhammed 'Afif bin Iskandar. Majlis dihadiri bukan sahaja penduduk setempat malah dihadiri oleh pelancong asing. Terdapat seorang pelancong asing yang menarik perhatian saya dimana beliau hadir pada sebelah petangnya untuk melihat kami membuat persiapan juga hadir pada sebelah malamnya.

Moga majlis sebegini terus subur di Bumi Kenyalang untuk terus menyuburkan rasa cinta dan rindu kita kepada Junjungan Besar Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam. Moga dengan cinta dan rindu kita kepada Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam ,semakin kuat pegangan dan kepercayaan kita untuk mengikuti segala tunjuk ajar serta sunnah Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam. Biarlah kita bermula dengan sunnah yang mudah dan ringkas, daripada kita meninggalkan terus mutiara-mutiara Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam. Marilah kita cuba berakhlak seperti akhlak Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam.

Allahumma sholli 'ala Sayyidina Muhammad!

No comments: