Wednesday, February 24, 2010

Adab Majlis Maulid & Maulid Diba'ie


Peringatan - Adab Majlis Maulid

Saiyid 'Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil ibnu Yahya al-Batawi menyebut didalam kitabnya ad-Durr al-Basim fi Athwar Abi al-Qasim صلى الله عليه وسلم:

".... Faedah yang pertama wajib atas kita sekalian Islam mengetahui bahawasanya junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم hamba Allah yang amat mulia, lebih daripada sekalian makhluk. Lagi bahawa ia pesuruh Allah Taala pada sekalian manusia dan jin.

Maka wajiblah mengetahui akan hal ehwalnya yang disebut di dalam kitab ini, yang sesetengahnya itu wajib diketahuikannya, dan sesetengahnya itu sunat. Sebahagi[an] lagi wajib atas kita menghormatkan junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dengan sehabis-habis hormatnya..."

Katanya lagi:
"Dan lagi, tiada pantas [selayaknya] pula dibaca [bacaan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم] itu di atas meja kerusi, sebab itu bukannya asal aturan Islam. Dan janganlah ada di tempat membaca itu campuran lelaki sama perempuan. Sebab, itu pertegahan syarak. Melainkan ada dinding antara mereka itu dengan aman daripada fitnah."

Katanya lagi:
"Dan jangan sekali-kali ada di tempat membaca [maulid Nabi صلى الله عليه وسلم] itu suatu permainan haram. Sebab, itu derhaka besar, melanggar pertegahan Rasulullah صلى الله عليه وسلم di hadapan sebutan nama Allah dan nama rasul-Nya. Maka itu tiada patut sekali-kali di dalam aturan syarak, maka tiada yang membuat begitu rupa, melainkan jika ia jahil akan kadar Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Atau tiada mengindahkan kewajipan hormat padanya. Maka adalah itu dekat kepada kelakuan orang yang murtad ..."

Katanya lagi:
“…… maka dapatlah pahalanya, tiada kurang, insya-Allah asal betul saja segala aturannya [adabnya] ……”



Qadhi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Muar Johor di dalam kitabnya Mustika 'Ajaib Pada Menyatakan Hukum Dan Kelebihan Membaca Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم halaman 14 - 15:

Ingatan - Apabila dibacakan maulid an-Nabiy di dalam satu-satu majlis maka hendaklah orang-orang yang hadhir di dalam majlis itu duduk dengan adab, jangan mereka itu bercakap, berbual atau menghisap rokok atau curut di dalam majlis itu tetapi hendaklah mereka itu duduk dengan adab dan tawadhu'. Oleh sebab saya datang akan perkataan ini disini kerana saya telah berjumpa beberapa tempat-tempat kumpulan orang-orang kerana membaca maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, maka setengah mereka itu berbual-bual dan setengah mereka itu menghisap rokok .......
Maka sayogianya bagi orang yang menghadiri majlis maulidurasul, duduk di dalam keadaan yang tenang dan beradab kerana membesarkan serta memuliakan junjungan mulia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Duduklah seumpama duduk berada di dalam majlisnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. والله أعلم.

-rujukan dari blog al-Fanshuri. Sila klik di sini

Maulid Diba'ie

Karya mawlid yang masyhur dengan nama "Mawlid ad-Diba`ie" ini adalah antara karya mawlid yang tua, hampir mencapai usia 500 tahun. Sepanjang masa tersebut, ianya telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia Islam. Dibaca, dihayati, diwirid oleh jutaan umat, yang awam maupun yang khawas antara mereka. Mawlid ini adalah karya seorang ulama besar dan muhaddits yang sebenar, Imam Wajihuddin 'Abdur Rahman bin Muhammad bin 'Umar bin 'Ali bin Yusuf bin Ahmad bin 'Umar ad-Diba`ie asy-Syaibani al-Yamani az-Zabidi asy-Syafi`i rahimahumUllah. Imam ad-Diba`ie dilahirkan pada 4 haribulan Muharram tahun 866H dan wafat hari Jumaat 12 Rajab tahun 944H. Beliau adalah seorang ulama hadits yang terkenal dan tiada tolok bandingnya pada masa hayatnya. Beliau mengajar kitab "Shohih" Imam al-Bukhari lebih dari 100 kali khatam. Beliau mencapai darjat Hafiz dalam ilmu hadits iaitu seorang yang menghafal 100,000 hadits dengan sanadnya. Setiap hari beliau akan mengajar hadits dari masjid ke masjid. Di antara guru-gurunya ialah Imam al-Hafiz as-Sakhawi, Imam Ibnu Ziyad, Imam Jamaluddin Muhammad bin Ismail, mufti Zabid, Imam al-Hafiz Tahir bin Husain al-Ahdal dan ramai lagi. Selain daripada itu, beliau juga seorang muarrikh, yakni ahli sejarah, yang terbilang. Di antara kitab karangannya ialah:-
  • "Taisirul Wusul ila Jaami`il Usul min Haditsir Rasul" yang mengandungi himpunan hadits yang dinukil daripada kitab hadits yang 6.
  • "Tamyeezu at-Thoyyib min al-Khabith mimma yaduru 'ala alsinatin naasi minal hadits" sebuah kitab yang membezakan hadits sahih dari selainnya seperti dhaif dan maudhu.
  • "Qurratul 'Uyun fi akhbaril Yaman al-Maimun".
  • "Bughyatul Mustafid fi akhbar madinat Zabid".
  • "Fadhail Ahl al-Yaman".
-rujukan dari blog Bahrus Shofa. Sila klik di sini


No comments: