Monday, October 12, 2009

Bicara Siasah: Pasca-Bagan Pinang, Pasca-EGM MCA,

Pasca-Bagan Pinang

Kekalahan Pas-PR di Bagan Pinang tidak memeranjatkan saya. Malah saya bersyukur dengan kekalahan tersebut,kerana sedikit sebanyak peristiwa di Bagan Pinang akan membuka sedikit sebanyak mata Pas yang sekian lama mengalami kekalutan dalaman, yakni buntu sama ada mahu ikut Mursyidul atau Presiden. Inilah masanya Pas muhasabah dan melihat sedalam-dalamnya apakah yang mereka tertinggal di dalam perjuangan mereka. Setelah selesai meneliti ucapan beberapa pimpinan negeri Pas di Negeri Sembilan, beliau menyimpulkan isu-isu di negeri lain akan mempengaruhi undi Pas di tempat lain.Disini saya memperoleh 2 dapatan;

i. Perang isu kebajikan oleh PM, Datuk Seri Najib Razak melalui 1Malaysia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap isu di peringkat nasional,lantas mempengaruhi keadaan di peringkat negeri.

ii. Kelekaan Pas dalam isu di negeri lain; terutamanya di Selangor sedikit sebanyak mempengaruhi Pas dalam keberadaan mereka di dalam PR di peringkat negeri.Mungkin PR di peringkat Pusat tidak menghadapi masalah tetapi di peringkat negeri?Tiada siapa yang mampu memberi jawapan.


Melihat keadaan ini, saya semakin risau dengan keberadaan Pas di dalam PR.Adakah mereka akan terus mengorbankan perjuangan negara Islamnya semata-mata mahu menguasai negara dan juga menang pilihanraya. Jika benar dan jelas, Pas ingin membina sebuah negara Islam yang berdaulat, melaksanakan sepenuhnya sistem syariah jalan Pas di dalam PR sangat berliku. Ini kerana saya melihat perantaraan Pas dan DAP di dalam PR adalah satu; Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika tiada Datuk Seri Anwar, saya kira sukar untuk Pas dan DAP untuk duduk semeja seperti yang ada sekarang.


Jadi, inilah masanya Pas mengira sama ada untuk terus berada di dalam PR pada masa akan datang atau untuk terus memperjuangkan daulah Islamiyyah. Semestinya Pas menggalas beban yang berat dalam memperjuangkan daulah Islamiyyah. Saya kira Pas sudah merangka strategi mereka di dalam PR,tetapi sejauh manakah istilah dakwah yang dipikul oleh Pas selama mana mereka berada di dalam medan siasah negara. Mungkin sukar untuk membawa wadah daulah Islamiyyah, tetapi percayalah, jika Pas benar-benar mahu mewujudkan daulah Islamiyyah; daulatkan Islam di dalam negara kita yang tercinta ini.Jangan lupa, Allah 'Azza wa Jalla pasti akan bersama dengan mereka yang mendaulatkan agama Allah.

Pasca-EGM MCA

Mungkin saya tidak dapat melihat sepenuhnya isu ini kerana sumber saya terhad kepada berita berbahasa Melayu. Namun, dua usul yang telah diluluskan menunjukkan isyarat yang besar kepada MCA. Selepas UMNO, MCA menyusul dengan krisis kepimpinan. Mungkin selepas ini MIC juga mengikut jejak langkah yang sama.


Usul yang pertama didalam EGM MCA; undi tidak percaya kepada Datuk Seri Ong Tee Kiat telah diundi.Dan ini isyarat hampir setengah perwakilan MCA menolak kepimpinan Datuk Seri Ong. Tidak mustahil Datuk Seri Ong akan melepaskan jawatannya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA. Datuk Seri Dr. Chua juga ditolak hampir setengah oleh perwakilan.

Isu Pasca-EGM MCA ini membimbangkan saya kerana jika pucuk pimpinan MCA berubah, secara tidak langsung akan mempengaruhi kerusi menteri di dalam kerajaan pusat. Kerajaan pusat akan terus haru biru dengan pertukaran menteri yang sering bertukar ganti. Ini secara tidak langsung akan mengganggu dasar-dasar yang telah dibuat dan diolah oleh menteri terdahulu.Orang bawahan juga bertambah pening dengan pertukaran yang sering berlaku di dalam pucuk pimpinan kerajaan

Kesimpulan

Walau apapun yang berlaku didalam siasah Malaysia, kita secara tidak langsung akan terkena tempiasnya baik kita mengikuti perkembangannya ataupun tidak. Siasah Malaysia, satu perkara yang semakin rumit jika kita semakin mengenalinya. Mereka yang terlibat di dalam siasah ini, mahu perubahan yang berlaku secara mendadak dan segera. Dan mungkin ini bukanlah jalan yang terbaik untuk melakukan perubahan dalam jangka masa yang panjang. Mengambil iktibar dari buku Generasi Salahuddin, perubahan dilakukan dalam jangka masa yang lama bukan secara mendadak.

Mengubati hati, lebih penting dari mengubati luka luaran. Janganlah kita menjadi seperti wahhabi siasah, mengkafirkan orang secara melulu tanpa usul periksa; membangkang tanpa menilai dari pelbagai sudut; mengkritik tanpa mengambil kira semua aspek.

Saya juga bukan seorang yang maksum,saya juga tidak terlepas dari kesalahan.Malah saya juga dalam proses membaiki diri.Jika kita ambil sehelai kertas dan hitamkannya menggunakan pensel dalam masa 10 saat adalah perkara yang sangat mudah.Tetapi jika cuba untuk memadam lorekan kita tadi dalam masa 10 saat adalah sangat mustahil,bukan semua dapat melakukannya.Perubahan juga begitu.Tidak dapat dilakukan dalam sekelip mata,malah memerlukan banyak masa, dan juga pengorbanan.

Maaf kiranya terlalu banyak celoteh saya didalam entri kali ini.Hanya Allah yang mengetahui atas segala sesuatu.
Lagi pautan:

No comments: